Wednesday, November 30, 2011

Kebenaran Hakiki: Kesedaran Terbeza


Apakah kesedaran terbeza itu?

Terdapat pelbagai jenis kesedaran.

Kesedaran adalah berbeza daripada kefahaman dan ianya adalah dua perkara yang berlainan. Ilmu akan memulakan pengetahuan, pengetahuan akan memulakan kefahaman, dan kefahaman adalah permulaan kepada kesedaran dan kesedaran akan merubah perlakuan lantas menuju kepada suatu perubahan gaya kehidupan.

Kesedaran di sini boleh diertikan sebagai kefahaman yang disertakan dengan rasa atau perasaan yang merubah perbuatan. Mengetahui panasnya mentari dan merasai panasnya mentari adalah dua perkara yang berbeza. Mereka yang merasai panasnya mentari akan mempunyai suatu kefahaman yang lebih mendalam, akrab dan jitu tentang mentari itu sendiri.

Inilah matlamat terakhir dalam pencarian sesuatu ilmu, yakni bagi mewujudan suatu kesedaran.

Di dalam mencapai suatu kesedaran, ilmu harus disertakan dengan amal. Amalan tidak bermakna seseorang manusia itu telah mencapai kesedaran, tetapi ianya merupakan suatu praktis atau ritual yang sangat perlu bagi membantu mencapai kesedaran. Apabila ilmu disertakan dengan amal, ini akan merupakan suatu gabungan yang mungkin sekali dapat membantu seseorang manusia itu mencapai kesedaran.

Amal di sini pada kefahaman saya adalah perbuatan fizikal, dan perbuatan fizikal ini adalah seperti yang diketahui merupakan ilusi. Ada banyak amal yang boleh dilakukan yang apabila disertakan dengan ilmu bakal membawa kepada kesedaran. Namun amal yang terbaik antara semua amal adalah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Apakah cara bagi mencapai kesedaran itu?

Seperti yang diterangkan ilmu harus disertakan dengan amal bagi mencapai kesedaran. Itu adalah matlamat setiap manusia yang mahu melihat kebenaran, iaitu kesedaran.

Islam mengajar kita solat, puasa, membaca Al-Quran, menunaikan zakat, menunaikan haji, dan bermacam-macam lagi. Ini semua merupakan amalan yang baik. Pengertian dan ilmu di dalam menjalankan amalan-amalan ini sangat penting kerana sebab yang seperti diterangkan di atas.

Ilmu membawa kepada pengetahuan, pengetahuan membawa kepada kefahaman, kefahaman membawa kepada kesedaran, kesedaran membawa kepada perlakuan dan perlakuan akan mencorakkan gaya hidup. Maka Islam itu dalam erti kata lain adalah gaya hidup. Agama itu merupakan gaya hidup. Itulah hakikat agama.

Di dalam agama Hindu dan Budha, hanya menamakan beberapa agama di dunia, ada juga mengesyorkan perkara seperti di atas. Namun kelemahan agama-agama tersebut adalah ianya sukar bagi manusia mempraktiskan dan mengadaptasikan kedalam kehidupan harian, kerana penumpuan terhadap ritual-ritual di dalam agama tersebut memaksa manusia itu mengorbankan kehidupan kemasyarakatan. Begitu juga dengan beberapa amalan-amalan ekstremis di dalam beberapa tarekat Islam itu sendiri.

Namun, Rasulullah SAW telah mengajarkan kesederhanaan di dalam Islam iaitu manusia dapat meneruskan ritual-ritual bagi mencapai kesedaran tanpa mengorbankan aktiviti kemasyarakatan, sekiranya kita mengikut ajaran Sunnah Wal Jamaah.

Ajaran Sunnah Wal Jamaah itu sangat mudah iaitu Al-Quran dan Hadis.

Ritual-ritual mencapai kesedaran

Solat adalah ritual yang menggabungkan kosentrasi atau meditasi disamping senaman badan. Solat lebih baik jika dibandingkan dengan meditasi yoga Hindu kerana ianya mempunyai pergerakan. Bermeditasi sambil bergerak merupakan aktiviti yang sangat mencabar disamping gabungan usaha bagi menjaga dan mengingati bacaan-bacaan di dalam solat. Solat juga membantu manusia melepaskan diri daripada pengikatan pada ilusi, kerana di dalam solat segala kerja, atau pengaruh, atau keperluan dalaman harus dihentikan serta-merta.

Puasa merupakan aktiviti pelepasan daripada pengikatan yang sangat jitu. Di dalam puasa bukan sahaja perut harus menahan lapar, tetapi seluruh pancaindera harus juga menahan diri daripada aktiviti kebiasaan dan menumpukan kepada perkara-perkara spiritual. Secara otomatik kosentrasi manusia akan beralih kepada dalaman dan ini akan membantu dirinya mengkaji ilusi-ilusi yang masih mengikat dirinya.

Zakat, sedekah, solat berjemaah merupakan ritual kemasyarakatan yang mengingatkan kita kepada asal usul, bahawa manusia pada hakikatnya bersumber daripada sumber atau titik permulaan yang sama, dan semua manusia secara kolektif termasuk alam adalah satu.

Penggunaan halucinogen merupakan penggunaan bahan substensi dadah. Terdapat banyak jenis dadah yang tergolong kepada jenis sintetik dan bukan sintetik. Jenis sintetik adalah yang diadun oleh manusia yang hilang bentuk asalnya, manakala yang bukan sintetik adalah yang kekal dalam bentuk asal seperti cendawan dan cannabis. Apabila manusia menggunakan substens ini ianya akan membuka bahagian akal manusia yang tidak diterokai dan membawa kepada kesedaran serta-merta.

Namun bahaya di sini adalah pengikatan, yakni manusia akan terikat kepada penggunaannya dan mewujudkan kebergantungan, kerana ia memberikan jalan singkat. Solat, puasa dan beberapa ritual Islam di atas juga dapat meberi kesan yang sama pada hakikatnya cuma lebih perlahan dan berperingkat-peringkat. Kedua, tidak ramai manusia yang boleh mengawal perjalanan pemikiran apabila kesedaran terbuka secara tiba-tiba atau serta-merta, lantas ramai yang menjadi panik atau lari, atau terpesong daripada maksud asal penggunaannya.

Seperti yang ketahui ritual-ritual ini merupakan sebahagian daripada ilusi walaupun ianya Islam. Namun ritual-ritual yang berada dalam lingkungan Islam adalah lebih baik dan dijamin keredhaannya berbanding yang tidak berada dalam linkungan Islam.

Penggunaan halucinogen bukan dalam linkungan Islam. Seperti firman Allah, 5:46

Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

Apakah tingkat-tingkat kesedaran itu?

Kesedaran itu terdapat pelbagai jenis, namun jika dilihat di dalam masyarakat terdapat 3 jenis kesedaran iaitu kesedaran jenis binatang, kesedaran jenis manusia, dan kesedaran jenis manusia sempurna.
Kesedaran jenis binatang adalah kesedaran yang mengikut nafsu, di mana corak kehidupan manusia jenis ini hanya memenuhi kehendak yang diperlukan oleh tubuh badan tanpa panduan berbentuk ilmiah. Seperti memenuhi lapar, dahaga, keperluan seksual dan keprluan badan yang lain. Ianya primitif dan tidak berbentuk ilmiah atau jika ada ianya cetek dan tidak dalam.

Kesedaran jenis manusia adalah yang mempunyai panduan ilmiah dan ilmu yang ada digunakan bagi memandu kehendak badan. Ianya lebih baik dari kesedaran binatang di mana ia dapat menentukan positif dari yang negatif dan mewujudkan hidup berketamadunan.

Kesedaran jenis manusia sempurna mempunyai panduan ilmiah dan juga pengetahuan ketuhanan. Ia tidak terbatas pada pengetahuan pada bahan material sahaja di mana ia juga merangkumi perkara-perkara ketuhanan yang berbentuk rohani atau spiritual.

Kesedaran merupakan pengakhiran bagi setiap telahan ilmu.


No comments:

Post a Comment