Segala-galanya berada di dalam diri, jadi mengapakah kita begitu hiba? Kegembiraan dan kebahagiaan sangat murah nilainya, tidak perlu bekerja berjam-jam bagi mencari berjuta-juta. Hanya perlu berhenti seketika, mengasingkan diri, dan melihat ke dalam. Jika berjaya maka bahagialah kita selama-lamanya.
Kecetekan akal, dan pengaruh sekeliling mengajar bahawa Tuhan ada pada Prada, Mercedes, Fazura dan seangkatan dengannya, tetapi apakah Tuhan itu begitu penting, dan apakah dia entiti yang selain dari diri ini? atau Dia lebih dekat dari urat yang menjalar di leher dan tubuh?
Dia berada di mana-mana, di hadapan, di belakang, di atas mahupun di bawah. Dia hanya tersenyum melihat kita tercari-cari, terkapai-kapai, walhal Dia sentiasa bersama dan tidak pernah berpisah. Setelah menyedari, kita menjadi hiba, sedih mengenangkan bertahun-tahun hidup ini terbazir dan hanyalah sekarang baru dapat melihat, menyentuh, dan merasa-Nya.
Namun itu lah Dia, yang penuh dengan muslihat dan tipu daya, Si Pengarah yang jauh lebih hebat dari Speilberg, Lucas mahupun Wachowski, atau apakah mereka itu Dia juga, yang hadir dalam jasad kekafiran dan kekufuran. Tetapi siapakah berhak mengatakan mereka sekalian itu kafir, tidak lain melainkan Dia juga.
Hidup dan mati telah dilalui berulang kali, yang mahu di cari kini adalah keabadian. Bunyinya mustahil, tetapi hanya pada bunyi dan bunyi itu kian menjadi sunyi dan kini terus menjadi sepi. Segalanya kini tidak mustahil, semuanya boleh, dunia tanpa sempadan, bangsa pada nama, dan bahasa hanya suatu kemajmukan.
Lihatlah pada dunia, buangkanlah benci mu dan pasti kau akan melihat Dia,
tersenyum,
manis, dan
teguh, serta sabar menanti kepulangan mu, Muhammad...
No comments:
Post a Comment