Saturday, June 4, 2011

Malaysia: Satu Order Baru

Malaysia kini melalui suatu kekacauan sosio-politik yang terhebat sejak kemerdekaannya dari British 55 tahun yang lalu. Tahukah kita bahawa, di saat masyarakat di negara-negara maju yang lain sibuk menuju ke arah evolusi kemanusian alaf baru, kita masih lagi gagal menyelesaikan perbezaan politik, dan kemunduran kesedaran di kalangan masyarakat kita?

Jika di ambil mana-mana naskah akhbar di negara, 'menu' yang akan kita baca adalah, skandal politik atau seks ahli politik tertentu, perebutan kuasa di dalam parti politik, fitnah dan pertuduhan di kalangan ahli politik, masalah sosial di kalangan masyarakat, atau cerita artis-artis paling popular tanah air

Sejak 55 tahun merdeka, sekiranya ada sejarah mengajar kita, ianya hanyalah satu, iaitu punca kekacauan sosio-politik negara adalah disebabkan ketidak-seimbangan politik yang mana ianya dikuasai oleh oligarkis yang mempunyai kepentingan tersendiri, dan bukannya untuk kepentingan masyarakat sejagat.

Di atas ketamakan dan kegilaan ahli politik merancang strategi untuk kekal berkuasa, tidak kira BN atau BA, rakyat menjadi berpecah-belah, bermusuhan antara satu sama lain dan terlupa bahawa negara kita pada hakikatnya mundur sekurang-kurangnya 15 tahun jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain.

Antara kelalaian kita ini adalah;

  • Ketika kita sibuk memikirkan isu subsidi dan kenaikan harga minyak, kita terlupa bahawa petroleum adalah sumber tenaga yang PALING tidak efisien, tidak kekal, dan penyumbang terbesar kepada masalah alam sekitar. Manakala di negara maju pula ketika ini, sibuk mencari sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar, geothermal, atau tidal dan wave bagi menghentikan penggunaan pertroleum sebagai sumber bahan bakar.
  • Ketika parti-parti politik sibuk memecah-belahkan rakyat bagi meraih undi, di negara-negara maju kini sibuk menyelesaikan perbezaan pendapat dan ideologi, bagi membentuk satu kefahaman politik yang padu dan jitu, demi membentuk sebuah masyarakat yang harmoni, lantas mewujudkan suatu identiti baru.
  • Ketika kita sibuk menonton video seks ahli politik tertentu, kita terlupa bahawa kos perubatan yang baik semakin meningkat dan sukar didapati, dan perubatan yang disediakan kerajaan kini semakin sesak dan ianya menyebabkan kualiti perubatan tanggungan kerajaan jatuh merudum. Termasuk juga dengan sistem pelajaran yang ketinggalan zaman, yang tidak lain hanya merupakan tinggalan penjajah kita, dan ianya hanyalah untuk menyumbang ke arah keperluan sumber tenaga manusia dan bukan untuk mewujudkan masyarakat yang berkesedaran dan kritikal.
  • Ketika kita sibuk melihat ahli politik bergaduh, kita terlupa bahawa sistem penjara kita gagal membentuk dan mengajar pesalah-pesalah agar dapat kembali semula ke dalam masyarakat dan tidak melakukan kesalahan semula. Ini menyebabkan kadar jenayah semakin meningkat, dan skala masyarakat anti-sosial semakin tinggi.
  • Dan ketika kita sibuk memikirkan parti mana yang hendak di undi pada pilihanraya yang akan datang, kita terlupa bahawa negara kita mempunyai kualiti pengangkutan awam yang sangat buruk, yang mana sekiranya ia ditingkatkan kepada 95% kebanyakan rakyat yang tinggal di ibu kota terutamanya, tidak perlu memiliki kenderaan dan ini akan mengurangkan kadar inflasi, di mana mereka tidak perlu lagi meminjam kepada bank bagi membeli sebuah kereta.
Hakikatnya kini, ketika kita menyangka bahawa PAS, PKR, DAP atau apa-apa sahaja perti pembangkang sebagai solusi kepada masalah kita, mereka tidak lain tetapi hanyalah UMNO, MCA, atau MIC dalam wajah, suara dan rupa yang berbeza, TETAPI mempunyai ideologi, motivasi dan matlamat yang SAMA. Ini adalah hakikatnya.

Lihat pada peralihan pentadbiran George W. Bush kepada peralihan pentadbiran Barrack Obama. Sebelum, Presiden Obama ditabalkan sebagai Presiden Amerika yang ke-44, rakyat Amerika menyangkakan bahawa mereka akan mengalami reformasi kenegaraan yang ditunggu-tunggu selama ini. Tetapi apa yang dikecapi tidak lain melainkan pentadbiran yang sama seperti Presiden Bush, tetapi dibawa oleh suara yang lebih 'sopan, sedap dan lunak' dari pentadbiran yang sebelumnya. Benar. Amerika menarik semula ribuan askar-askarnya di Iraq dan Afghanistan, tetapi di ganti oleh kumpulan askar upahan yang lebih kejam, tamak dan 'brutal'.

UMNO, MCA, MIC, PAS, PKR, DAP atau apa-apa sahaja parti politik di negara kita adalah sama sahaja, iaitu dari sudut motivasi dan matlamat. Mereka tidak lain melainkan seperti jenama rokok di pasaran, Marlboro, Dunhill, Pallmal atau Salem, kotak dan hiasan pada sarungnya berbeza, tetapi pada hakikatnya ia tetap rokok.

Golongan pelajar harus sedar berkenaan hakikat ini. Harus lebih kritikal dan tidak mengafiliasi dan mengabdikan diri kepada mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang. Harus kekal berkecuali dan menerapkan sifat 'kedekutkan' sokongan, agar anda semua tidak mengulangi kesilapan kami.

Berikut adalah sebab mengapa saya sehingga kini masih lagi tidak pernah mengundi. Masih menunggukan seorang pemimpin yang cukup waras.

Wallahualam.




No comments:

Post a Comment