Saturday, June 25, 2011

How To Make RM1000 In One Day

Berkali-kali zaman diperbaharui. Pada hujung sesebuah zaman, muncul seseorang yang akan mengetuai bangsa manusia menuju ke arah pembaharuan yang lebih baik dan berbetulan dengan kehendak fitrah.

Pada zaman ini, manusia telah kembali menyembah berhala. Maka muncullah bukan satu, tetapi ribuan berhala yang menjadi sembahan manusia. Upacara menyembah berhala ini berlaku setiap hari dan setiap masa, malah ketaatan manusia menyembah berhala pada zaman ini lebih galak dan dasyat dari zaman-zaman yang sebelumnya.

Tepat pada jam 8.30 pagi, dari Isnin hingga Jumaat, upacara ini dapat disaksikan secara global. Mereka berpusu-pusu, mengenakan tali leher, kot dan sepatu kulit bagi meneruskan amalan nenek-moyang yang turun-menurun. Berhala yang menjadi ketua bagi semua berhala di zaman ini adalah Mammon, dan dari Mammon muncullah berhala-berhala yang lain, yang walaupun berbeza tetapi merupakan sekutu-sekutu Mammon juga.

Mammon membuatkan manusia tertipu, bahawa kita telah sampai pada destinasi, namun pada hakikatnya kita berada pada suatu perjalanan dan dunia ini hanyalah suatu persinggahan. Buktinya adalah kita semua akan mati. Bagi mengalihkan perhatian, Mammon lebih jahat lagi mengaburi manusia bahawa kematian itu merupakan suatu kesedihan, lalu ramai yang tertipu lantas makin ramailah lagi yang membina pelbagai jenis berhala untuk disembah dan lama-kelamaan kita menjadi terlupa.

Setiap manusia pada zaman ini, dari tukang sapu mahupun ketua negara, dari yang Kristian, Islam, Buddha, Hindu, mahupun Athies atau freethinker menjadi penyembah Mammon yang sangat taat.

Mammon kini telah berjaya menguasai dunia, dan semua agama yang dianggap suci juga menjadi taklukan Mammon. Maka ramai yang mencari perlindungan di bawah semua agama utama dunia terpedaya dan terjerumus dalam kancah menyembah Mammon.

"No man can serve two masters: 
for either he will hate the one, 
and love the other; 
or else he will hold to the one, 
and despise the other. 
Ye cannot serve God and mammon."
-Matthew 6:24-



No comments:

Post a Comment