Sejarah merupakan rakaman peristiwa-peristiwa penting yang relevan dalam ketamadunan manusia. Melalui sejarah kita dapat mengambil ikhtibar dan pengajaran bagi memperbaiki kehidupan kita. Dalam sejarah, dari mula ianya direkodkan, peperangan, perebutan, peralihan kuasa dan pentadbiran merupakan intipati hidup manusia. Lalu kita menganggap bahawa ini semua adalah perkara biasa. Bahawa untuk mengecapi kehidupan yang baik dan keamanan sejagat, kita perlu menitiskan darah dan menumbang suatu kuasa tertentu. Namun apakah kita akan berterusan begini? Mungkinkah kita dapat mengecapi keharmonian tanpa peperangan dan pertelingkahan?
Manusia sedang melalui suatu evolusi yang tidak mungkin dapat dielakkan. Ketika kita merasakan diri berkuasa, mentadbir, dan mengarah, namun pada hakikatnya ada suatu kuasa yang menguasai seluruh bangsa kita, iaitu bangsa manusia, dan kuasa ini telah lama ada dan wujud sejak azali lagi, lebih awal daripada kewujudan kita. Bagi mereka yang spiritual akan memanggil kuasa ini Allah, Krishna, Yahweh, The Divine dan sebagainya. Namun pada hakikatnya, walau apa pun nama ini dipanggil ianya tetap satu dan konsep serta esensinya adalah sama.
Manusia kini dalam perjalanan menuju suatu zaman, iaitu Zaman Emas atau The Golden Age, di mana keharmonian dan keamanan pada tahap yang tertinggi bakal dikecapi tanpa kita dapat menolaknya. Di saat dunia mengalami kehancuran, baik dari segi semula jadi atau perbuatan manusia sendiri, ketika hampir seluruh negara di dunia mengalami konflik secara fizikal mahupun rohani, hikmah di sebalik kesemua fenomena ini akan mendatangkan suatu harapan dan diakhiri dengan kemenangan. Kehancuran dan kemunduran manusia sejagat, sejak awal kejadiaannya bakal menuju ke kemuncaknya. Namun bagi mereka yang mempunyai visi akan tersenyum kerana melihat ianya hanyalah sebahagian daripada evolusi spesis manusia itu sendiri.
Oligarkis dan fasis menguasai hampir seluruh dunia, dan kelihatan kini mereka semakin giat menjalankan usaha bagi mengekalkan diri berkuasa. Apabila kita mendengar, melihat dan berfikir, kita akan dapati ini adalah tiada lain melainkan tindakan mereka yang sangat terdesak, bagi menghalang suatu kesedaran. Iaitu kesedaran global. Di seluruh dunia kini, kita dapat melihat bahawa masyarakat sejagat semakin arif dan sedar akan permainan politik golongan oligarkis dan fasis, dan propaganda yang di bawa oleh media mereka semakin tumpul dan tidak memberi kesan.
Masyarakat di seluruh dunia telah beralih kepada media alternatif seperti internet, di mana mereka boleh memilih dengan sendiri apa yang mahu di baca dan tatapi. Ahli-ahli politik, baik dari kerajaan atau pembangkang, Republikan atau Demokrat, Buruh atau Konservatif semakin dipinggirkan, termasuk juga golongan ekstremis agama dan puak pelampau, baik Islam, Kristian, Hindu mahupun Yahudi. Manifesto yang di bawa mereka, yang kononnya perjuangan telah terbukti tiada lain melainkan idea-idea yang berlandaskan nafsu kebinatangan yang jahil dan buta.
Apakah yang perlu kita lakukan bagi menghadapi dan mempersiapkan diri bagi menghadapi Zaman Emas ini? Jawapannya tiada apa-apa. Kita tidak perlu melakukan apa-apa, melainkan menjalani kehidupan seperti biasa. Kesedaran global atau global consciousness merupakan hukum alam, sama seperti peredaran siang dan malam. Ianya dibawakan oleh suatu kuasa yang lebih agung daripada kita semua.
No comments:
Post a Comment